DUNIA > BERITA

Setiausaha Agung ASEAN Puji Sumbangan Brunei Kepada Integrasi Serantau

16/08/2024 09:16 PM

JAKARTA, 16 Ogos (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr. Kao Kim Hourn menyampaikan penghargaan atas komitmen teguh dan sumbangan berterusan Brunei dalam pembinaan Komuniti ASEAN dan integrasi serantau.

Beliau berkata demikian ketika menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, pada Khamis.

Menurut Sekretariat ASEAN, Kao juga mengakui bahawa tahun 2024 adalah tahun istimewa kerana ia menandakan ulang tahun ke-40 keanggotaan Brunei dalam ASEAN dan sambutan itu telah diadakan di Ibu Pejabat ASEAN di sini pada 5 Ogos bagi memperingati peristiwa bermakna itu.

Semasa lawatan rasminya atas jemputan Kerajaan Brunei dari 13 hingga 15 Ogos, Kao turut menghadap Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah, yang juga merupakan  Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri.

Beliau turut mengadakan perbincangan dengan beberapa  menteri Brunei dan menyampaikan ucaptama di Universiti Brunei Darussalam, yang menumpukan kepada “Kerjasama, Kolaborasi, dan Belia: Asas Inovasi dan Kelestarian.”

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan