ATM Bawa Program Kenegaraan Untuk Penduduk Di Sempadan Maritim Negara

16/08/2024 08:27 PM

SEMPORNA, 15 Ogos (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membawa program kenegaraan kepada penduduk di kawasan sempadan maritim negara terutama di pulau-pulau di sini bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.

Pegawai Staf 1 Operasi Kor Risik Diraja Lt Kol Shahrin Lizar Saad berkata Program Semarak MADANI Jiwa Merdeka itu telah dipilih untuk diadakan di Pulau Denawan, Pulau Mataking, Pulau Mabul, Pulau Menampilik dan Pulau Bum Bum di sini.

"Ini antara program yang amat signifikan dalam usaha menyemarakkan dan menghayati nilai-nilai kemerdekaan sebagai rakyat berdaulat. Menjadi harapan kami agar program ini dapat meningkatkan semangat patriotisme bukan hanya dalam kalangan warga ATM malah seluruh rakyat Malaysia.

"Program ini turut memberi peluang kepada penduduk pulau yang berada jauh dari tanah besar bersama-sama terlibat dalam aktiviti kenegaraan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata lebih 20 pegawai serta anggota bersama penduduk termasuk guru dan pelajar terlibat dalam pelbagai acara kenegaraan yang bermula sejak semalam dan berakhir hari ini.

Antara aktiviti itu ialah memasang Jalur Gemilang di sekitar kawasan tumpuan dan perumahan serta beberapa program khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Terusan Baru di Pulau Bum Bum.

Program tersebut turut melibatkan acara keramaian seperti taklimat, nyanyian lagu dan tayangan filem kenegaraan serta pertandingan kuiz warisan negara.

Sementara itu, Guru Besar SK Terusan Baru, Budlaji Tianjji berkata program kenegaraan mampu membentuk minda bagi memperingati detik bersejarah yang mengubah landskap negara.

"Program ini bukan hanya simbolik mengenang jasa perjuangan kemerdekaan tetapi juga menjadi platform untuk menanam semangat patriostisme dalam jiwa khususnya pelajar sekolah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan