Azlan Man Tempah Percutian Keluarga Ke London RM687,785.40 Menerusi K'jaan Negeri- Saksi

19/08/2024 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, pernah membuat tempahan percutian keluarga ke London, United Kingdom dengan kos berjumlah RM687,785.40 menerusi kerajaan negeri Perlis.

Pembantu Akaun Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd (SKTT) Fazilah Jelani, 47, berkata Azlan membuat tempahan tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan yang diuruskan oleh syarikat pelancongan itu pada 2013, 2014 dan 2015.

Bagaimanapun Fazilah berkata Azlan membatalkan kesemua tempahan percutian itu dan bayaran balik berjumlah RM629,395.30 telah dibayar kepada Azlan melalui cek atas nama beliau, yang jumlah tersebut selepas ditolak dengan cas yuran pembatalan.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat mengenai pembatalan tempahan dan bayaran balik kepada Azlan, Fazilah berkata selepas menerima pesanan daripada kerajaan negeri Perlis dan bayaran telah dibuat, kerajaan sepatutnya memberikan salinan pasport bagi tujuan tempahan tiket penerbangan serta hotel penginapan.

“Saya kemudian dimaklumkan bahawa Datuk Azlan mahu batalkan tempahan dan minta bayaran balik,” kata saksi pendakwaan kelima itu pada hari keempat perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong itu yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Terdahulu ketika membacakan pernyataan saksinya, Fazilah mengesahkan salinan invois Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd bertarikh 11 Dis 2013 berjumlah RM230,230 iaitu kos bagi tiket penerbangan, hotel dan pengangkutan ke London pada 20 Dis 2013 hingga 2 Jan 2014, diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Beliau berkata berdasarkan invois SKTT berjumlah RM216,260 bertarikh 17 Dis 2014, ia sebut harga bagi tiket penerbangan ke London dan hotel penginapan bagi Azlan dan keluarganya, atas nama Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar Perlis bertarikh 20 Nov 2014.

Saksi itu juga mengesahkan sebut harga tiket penerbangan ke London dan hotel penginapan untuk Azlan dan keluarganya atas nama Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar Perlis berjumlah RM241,295.40 bertarikh 26 Nov 2015.

“Saya sahkan kemasukan wang bagi kesemua pakej percutian Azlan ke akaun Maybank Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd adalah daripada Kerajaan Negeri Perlis,” katanya.

Saksi itu berkata berdasarkan salinan baucar bayaran bertarikh 5 Feb 2015 dan 20 Jan 2016 beliau mengesahkan dokumen itu adalah bertujuan “being refund due to cancel trip” masing-masing bagi tempahan tahun 2014 dan 2015.

Bagi tempahan tahun 2013 pula, Fazilah mengesahkan dokumen “refund” tidak mempunyai tarikh.

Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.

Hal itu membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azlan sebelum ini turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017 di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini antara 19 Feb 2014 dan Dis 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan boleh didenda lima kali nilai hasil atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung pada Rabu (21 Ogos).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan