Najib Tarik Balik Rayuan Gugur Hakim Sequerah Dengar Prosiding Kes 1MDB

20/08/2024 12:37 PM

PUTRAJAYA, 20 Ogos (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik rayuannya untuk menggugurkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah daripada mendengar prosiding kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Susulan itu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali membatalkan rayuan berkenaan.

"Setelah mendengar hujahan peguam dan alasan yang diberikan untuk menarik balik rayuan dan tiada bantahan daripada timbalan pendakwa raya, rayuan perayu dibatalkan.

“Namun begitu, isu mengenai pengguguran hakim boleh dibangkitkan dalam rayuan utama jika perlu," kata Hakim Che Mohd Ruzima yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azman Abdullah.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu mahkamah bahawa beliau telah mendapat arahan daripada anak guamnya untuk menarik balik rayuan pada hari ini.

"Hal ini kerana peguam kanan 1MDB Jasmine Loo Ai Swan telah selesai memberi keterangan selama 10 hari pada perbicaraan kes 1MDB.

“Oleh itu, kami menarik rayuan tanpa menjejaskan hak kami untuk membangkitkan isu berkenaan (untuk menggugurkan Hakim Sequerah) dalam rayuan utama sekiranya ada," kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar berkata pihaknya tiada bantahan dan bersetuju dengan syarat-syarat yang dinyatakan oleh peguam.

Najib merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Ogos tahun lepas yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Hakim Sequerah daripada mendengar kes perbicaraannya, selepas hakim itu mendedahkan bahawa beliau dan Loo pernah berkhidmat bersama di sebuah firma guaman.

Ketika menolak permohonan Najib, Hakim Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan berkata sejak Loo meninggalkan firma berkenaan pada Disember 2008, beliau tidak pernah berkomunikasi dengan Loo, sama ada secara profesional atau peribadi.

Loo merupakan saksi pendakwaan ke-50 dalam perbicaraan kes 1MDB membabitkan Najib dan kes itu kini berada pada peringkat hujahan selepas kesemua 50 saksi pendakwaan selesai memberi keterangan.

Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan