Operator Kilang Maut, Cebisan Tulang Ditemukan - Polis

21/08/2024 04:18 PM

SHAH ALAM, 21 Ogos (Bernama) -- Seorang operator kilang maut dalam keadaan menyayat hati dengan hanya kasut, cebisan baju dan tulang manusia ditemukan selepas dipercayai terjatuh ke dalam mesin memproses tandan sawit di sebuah kilang memproses sawit di Jenjarom, Kuala Langat semalam.  

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Saleh berkata cebisan tulang dipercayai milik lelaki tempatan berusia 34 tahun itu ditemukan pada 5.57 petang setelah pencarian dilakukan rakan sekerjanya berikutan ada mesin yang beroperasi tanpa penjaga.

Ahmad Ridhwan berkata mengikut pengurus kilang itu yang membuat laporan pada 9.15 malam tadi, mangsa yang baru bekerja selama lapan hari telah keluar rehat pada 1 petang dan masuk semula bekerja 50 minit kemudian.

Beliau berkata rakan sekerja mangsa yang telah selesai rehat pada 2.30 petang mendapati lelaki itu tiada di lokasi dan ada mesin yang beroperasi tanpa operator.

Susulan itu, mereka mula mencari mangsa di sekitar kilang dan telah menjumpai kasut, cebisan baju serta tulang manusia di hujung mesin penghantar di atas timbunan serat sawit pada pukul 5.57 petang.

Ahmad Ridhwan berkata mangsa dipercayai terjatuh ke dalam mesin pemprosesan tandan sawit ketika mengendalikannya dan kesemua cebisan bahagian tubuh itu dibawa serta diurus oleh Unit Perubatan Forensik Hospital Banting, dekat sini.

“Tiada sebarang unsur jenayah dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut,” katanya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan