Suri Rumah Rugi Lebih RM26,000 Terpedaya Pelaburan Tidak Wujud

21/08/2024 04:27 PM

SEREMBAN, 21 Ogos (Bernama) -- Seorang suri rumah kerugian lebih RM26,000 selepas terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan melalui laman sosial Facebook, pada 4 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 50 tahun itu Selasa lepas berikutan merasa ditipu apabila tidak memperoleh wang dijanjikan. 

“Kejadian berlaku pada 10.11 malam ketika mangsa yang berada di rumah terlihat iklan pelaburan daripada satu syarikat yang menawarkan modal permulaan RM300 dan menjanjikan pulangan sebanyak RM11,000.

"Mangsa yang berminat dengan tawaran itu terus berhubung melalui aplikasi WhatsApp dan membuat pembayaran RM300 sebagai permulaan sebelum sekali lagi membayar RM1,524 ke akaun bank atas nama ‘Siti’ untuk naik taraf had pelaburan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata mangsa juga mendakwa diminta membayar RM5,303 untuk urusan Bursa Malaysia serta RM12,626.48 bagi menjelaskan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus kerana wang pulangan tidak boleh dikeluarkan. 

Hoo berkata mangsa kemudian menerima satu carta mengenai pelaburan dan membayar RM3,000 lagi ke akaun atas nama ‘Ahmad Nazmi’ sebelum dia dibenarkan untuk mengeluarkan duit pulangan tersebut.

Beliau berkata bagaimanapun mangsa menyedari ditipu berikutan sehingga kini dia tidak mendapat pulangan dijanjikan selain terus diminta membuat pembayaran untuk pelbagai urusan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

--BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan