Rasuah: Juruukur Bahan UniSZA Didenda RM12,500

21/08/2024 09:05 PM

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos (Bernama) -- Seorang juruukur bahan kanan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) didenda RM12,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,500.

Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas Malike Mohamed, 52, selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan pilihan dan mahkamah turut memerintahkan dua bulan penjara bagi setiap pertuduhan, sekiranya dia gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa menerima wang keseluruhan berjumlah RM6,500 daripada pemilik Syarikat AMZ Sepakat Sdn Bhd Azman Yusof bagi melancarkan proses tuntutan bayaran interim yang dibuat syarikat itu kepada UniSZA di Bank Islam di sini pada Jun 2019 hingga Januari 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Pada Februari lepas, Malike mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM14,500 daripada Azman mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR daripada individu sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob menawarkan lapan pertuduhan pilihan, namun Malike yang diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri mengaku bersalah atas lima pertuduhan pilihan sahaja. 

“Saya mohon hukuman setimpal dan motosikal Yamaha Y15ZR yang disita dilucut hak dan menjadi milik kerajaan. Saya juga mohon baki pertuduhan yang tidak diakui tertuduh dipertimbangkan sebagai take into consideration (TIC) mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah,” katanya. 

Mohd Azhar dalam penghakimannya berkata kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius kerana boleh menyebabkan musibah lebih besar kepada kontraktor atau UniSZA.

Sehubungan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 bagi setiap pertuduhan serta mengarahkan motosikal Yamaha Y15ZR dilucut hak, menjadi milik kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan