Tragedi Sungai Kayan: Mayat Mangsa Kedua Ditemui

21/08/2024 09:44 PM

KUCHING, 21 Ogos (Bernama) -- Mayat mangsa kedua yang dilaporkan hilang dalam tragedi bot karam di Sungai Kayan, Lundu, kira-kira 72 km dari sini ditemukan pukul 5.30 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata mayat Helena Fasha Petrus, 17, dijumpai terapung lebih kurang satu kilometer dari Pos Kawalan Bomba dan Penyelamat di Kampung Selampit, berdekatan sungai itu.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini beralih ke arah mencari Alasma Jithil, 14, mangsa ketiga yang masih hilang.

Pagi tadi, mayat mangsa pertama, Vilkie Wilson, 15, ditemukan terapung kira-kira 10 meter dari Pos Kawalan Bomba dan Penyelamat pada pukul 11.58 pagi.

Semalam, dalam kejadian 6.10 pagi, sebuah bot yang dinaiki 20 orang telah karam di Sungai Kayan dengan 17 mangsa berjaya menyelamatkan diri, manakala tiga lagi mangsa dilaporkan hilang.

Dalam pada itu, ibu kepada salah seorang mangsa insiden itu berharap anaknya, Alasma Jithil, 14, dapat ditemui.

Mutiar Nyodieng, 50, berharap pasukan SAR dapat menemukan jasad anaknya itu, walau apa pun keadaannya.

“Saya berharap pihak polis, bomba dapat mencari anak saya, walaupun saya tahu memang tidak ada harapan hidup, yang penting saya tengok jasad,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat operasi SAR insiden itu.

Beliau berkata adalah menjadi kebiasaan bagi anak bongsunya itu ke sekolah menaiki bot yang merupakan pengangkutan utama ke sekolah setiap hari serta tidak menyangka kejadian tidak diingini berlaku.

“Hancur… hati siapa yang tidak hancur sebagai seorang ibu apabila mendapat tahu anaknya hilang ketika menaiki perahu,” katanya dengan nada sayu apabila menerima khabar tentang insiden yang menimpa anaknya itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan