Polis Tahan Dua Lelaki, Rampas Ganja Bernilai RM74,930

22/08/2024 01:46 PM

BUKIT MERTAJAM, 22 Ogos (Bernama) -- Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan dua lelaki berusia 22 dan 33 tahun dan merampas 20,431 gram (g) ganja bernilai RM74,930 dalam serbuan di Seberang Jaya pada Isnin dan Selasa.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Seberang Perai Tengah menggerakkan operasi terancang dan serbuan di Seberang Jaya bermula 9.20 malam Isnin hingga 3 pagi Selasa dan memberkas dua lelaki tersebut, yang dipercayai aktif mengedar dadah sejak Oktober tahun lepas.

Siasatan juga mendapati sindiket itu dipercayai mendapatkan bekalan ganja dari negara jiran dan mengedar dadah untuk pasaran Pulau Pinang, Kedah dan Kuala Lumpur. Polis kini giat mengesan ahli lain rangkaian lain sindiket pengedaran dadah itu.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati kedua-dua lelaki yang bekerja sendiri itu positif dadah jenis Methamphetamine dan seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

"Susulan penahanan dua lelaki itu, polis turut menyita sebuah motosikal bernilai RM4,500 dan suspek kini direman tujuh hari sehingga 26 Ogos ini bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kesemua ganja yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh 50,000 penagih dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan