SPRM Bongkar Sindiket Bawa Masuk Warga Asing Melalui Pintu Masuk Negara

21/08/2024 12:18 PM

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar sindiket yang membawa masuk warga asing ke negara ini, dipercayai tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kegiatan sindiket tersebut dibongkar susulan penahanan 12 individu, membabitkan sembilan lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 50 tahun menerusi Op Pump yang dijalankan SPRM di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan semalam.

Mereka yang ditahan termasuk empat pemilik syarikat, tiga orang awam yang dipercayai menguruskan kemasukan warga asing, serta lima penguat kuasa yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

"Tangkapan yang dilakukan ini adalah susulan risikan sejak SPRM sejak tahun 2022 terhadap kegiatan sindiket ini yang bersekongkol dengan pegawai-pegawai sebuah agensi penguat kuasa.

"Sindiket ini dipercayai telah meraih keuntungan jutaan ringgit dan siasatan mendapati kemasukan wang berjumlah lebih RM4 juta dari 2022 hingga 2024, dipercayai bagi urusan kemasukan warga asing yang turut diagih-agihkan kepada penguat kuasa terlibat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sindiket dipercayai turut didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur yang ditetapkan, menggunakan modus operandi 'counter setting'.

Modus operandi kegiatan sindiket ini adalah dengan membuat 'counter setting', iaitu bersekongkol dengan penguat kuasa di pintu masuk negara yang sedia menunggu di beberapa kaunter tertentu untuk memudahkan kemasukan kumpulan warga asing berkenaan.

“Kumpulan warga asing yang ingin memasuki negara ini akan menghubungi ejen yang akan menguruskan tiket penerbangan serta urusan dengan penguat kuasa terlibat.

"Ejen berkenaan akan memberikan maklumat mengenai kumpulan warga asing kepada penguat kuasa yang telah menunggu di kaunter tertentu. Pada masa yang sama, ejen akan memaklum kepada warga asing terbabit untuk menuju ke kaunter tersebut sebaik tiba di negara ini, bagi membolehkan mereka dilepaskan tanpa melalui pemeriksaan yang sepatutnya.

"Sebaik melepasi kaunter khas berkenaan, kumpulan warga asing terbabit akan diambil oleh wakil ejen yang berperanan membawa mereka keluar ke destinasi tertentu," katanya.

Azam berkata kumpulan warga asing seperti dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan serta Nepal itu sepatutnya melalui pemeriksaan berdasarkan Pekeliling Imigresen Bilangan 4 Tahun 2021.

Berdasarkan pekeliling itu, mereka hendaklah mengemukakan pasport atau dokumen yang sah, mempunyai visa, tiket perjalanan pergi balik yang sah, wang sara diri mencukupi sepanjang berada di negara, serta menunjukkan alamat penginapan atau tempahan hotel.

“Namun, menerusi kaunter khas ini, mereka diberi pelepasan tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya,” katanya sambil menambah bahawa kesemua suspek akan direman hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan