Tanah Jerlus Masjid India: Bomba Guna Jengkaut Korek Kawasan Mendapan

23/08/2024 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Pasukan penyelamat akan mengorek kawasan mendapan yang berlaku akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini menggunakan mesin jengkaut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat berkata langkah itu bagi meluaskan kawasan pencarian wanita warga India yang terjatuh dalam kejadian itu.

Beliau berkata berikutan perluasan kawasan pencarian, pihaknya juga akan menambah anggota JBPM dalam usaha mencari mangsa.

“Kita dah buat carian manual tetapi gagal menjumpai mangsa, dijangka dalam waktu terdekat akan sambung buat korekan lebih luas di tempat mendapan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata beliau difahamkan ketika kejadian, mangsa sedang berjalan kaki dari Selangor Mansion ke arah Lebuh Ampang dan kemudiannya duduk di kerusi konkrit yang turut terjatuh bersamanya. 

“Buat masa ini, kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup serta mengambil rakaman keterangan saksi yang berada di lokasi kejadian. 

“Tiada maklumat lanjut yang boleh diberikan buat masa ini termasuk kronologi sebenar insiden...sejurus mangsa ditemukan, kita akan kemas kini maklumat,” katanya. 

Sementara itu, berhubung keadaan keselamatan kawasan sekitar, Sulizmie berkata pihaknya masih berbincang dengan agensi berkaitan sebelum mengambil langkah sama ada menutup sepenuhnya lokasi kejadian atau sebaliknya.

“Setakat ini usaha menyelamatkan mangsa yang masih ada di bawah sedang dijalankan dan kini kita tunggu jengkaut untuk menggerakkan kerja pencarian.

“Kita perlu pertimbangkan nyawa bomba yang melakukan kerja penyelamatan dan buat masa ini, kita belum buat keputusan untuk tutup sepenuhnya sebab kita rasakan masih selamat dan kita akan membuat beberapa analisis dan jika perlu ditutup maka kita akan maklumkan kelak,” katanya. 

Sementara itu Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meminta orang ramai mematuhi arahan-arahan dikeluarkan pihak berkuasa semasa berada di dipersekitaran kawasan berkenaan.

Dalam meluahkan rasa simpati terhadap kejadian itu, beliau berkata arahan yang dikeluarkan adalah untuk keselamatan semua pihak.  

"Saya menyeru supaya semua rakyat bertenang dan beri laluan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera dan yang sewajarnya," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan