Isu 3R: Muhyiddin Didakwa Di Mahkamah Gua Musang Esok - KPN

26/08/2024 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa esok berhubung ucapannya yang dikatakan menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pendakwaan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Gua Musang selepas pihaknya menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC).

"Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu sistem e-Filing Mahkamah Persekutuan Malaysia memaklumkan sesi pendengaran kes berkenaan bermula pada pukul 9 pagi di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Sebelum ini media melaporkan polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu kepada AGC pada 21 Ogos lepas untuk tindakan lanjut.

Razarudin berkata pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada Muhyiddin dan 66 saksi bagi membantu siasatan.

Sebelum ini tular di media sosial ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan