PDRM Sangkal Dakwaan Tiada SOP Dalam Siasatan

08/09/2024 02:05 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan seorang selebriti mengatakan polis gagal melakukan siasatan terhadap 14 laporan yang dibuat sejak dua tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata tindakan sewajarnya telah dijalankan dengan dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 kanun sama. 

Beliau berkata siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan telah selesai dan kes diputuskan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara pada Jun lepas, setelah tiada keterangan mencukupi untuk menimbulkan elemen kesalahan pecah amanah dalam kes berkenaan.

“Siasatan kes ini juga telah dirujuk dan disemak semula oleh Peguamcara Negara pada Ogos lepas dan keputusan NFA itu dikekalkan. Pegawai penyiasat juga telah mengemukakan pemberitahuan kepada pengadu berkenaan keputusan siasatan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ramli, siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan masih dijalankan dan memberi jaminan ia dilakukan secara adil dan telus bagi memastikan prinsip undang-undang dan keadilan sentiasa dipelihara.

Sementara itu, Ramli berkata tuduhan berkenaan adalah tindakan tidak bertanggungjawab serta tidak wajar dilemparkan kepada polis hanya disebabkan hasil siasatan tidak berpihak kepada pengadu.

“Dakwaan oleh pemilik akaun Tiktok @bettybanafee bahawa pihak polis tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan adalah tidak benar sama sekali. PDRM menyangkal dakwaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Ramli berkata pihaknya mengesan hantaran yang mendakwa jabatan berkenaan gagal membuat siasatan terhadap 14 laporan polis dibuat oleh adik selebriti terbabit Shakib Abu Bakar Banafee dan empat individu lain yang dibuat sejak dua tahun lepas.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan