Pesara Guru Rugi Lebih RM300,000 Diperdaya 'Pegawai TNB'

07/09/2024 01:21 PM

KUANTAN, 7 Sept (Bernama) -- Seorang pesara guru berputih mata apabila kerugian lebih RM300,000 selepas menjadi mangsa penipuan melalui panggilan telefon oleh individu menyamar pegawai TNB dan polis.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 69 tahun itu menerima panggilan daripada individu tidak dikenali mendakwa pegawai TNB pada 18 Ogos lepas memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan bil TNB.

Beliau berkata panggilan berkenaan kemudiannya disambung kepada seorang 'pegawai polis’ yang memaklumkan terdapat waran tangkap atas nama mangsa kerana terlibat dengan pengubahan wang haram.

“Mangsa kemudiannya diarahkan membuat pemindahan semua duit simpanan ke dalam satu akaun bank miliknya. Suspek turut mengarahkan kad ATM berserta nombor pin mangsa diletakkan di satu lokasi yang diberikan. 

“Pada 28 Ogos, mangsa juga diarahkan untuk meletakkan semua barang kemas dengan anggaran nilai RM50,000 ke dalam peti surat rumahnya. Ia kemudiannya diambil oleh individu tidak dikenali dengan menaiki sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata mangsa menyedari telah ditipu selepas mendapati wang dalam akaun bank miliknya sebanyak RM261,810 telah dipindahkan ke akaun bank lain pada 6 Sept lepas melalui mesin ATM tanpa pengetahuannya dan membuat laporan di Balai Polis Kuantan.

Yahaya mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya kepada individu tidak dikenali dan membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan