Imigresen KL Tahan Hampir 2,000 Pendatang, 109 Majikan Dalam Operasi Jan Hingga Ogos Lepas

11/09/2024 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur menahan 1,952 pendatang tanpa izin dan 109 majikan yang menggajikan mereka menerusi pelbagai operasi sejak Januari hingga Ogos lepas.

Pengarahnya Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata warga Bangladesh mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi dengan 466 orang diikuti Indonesia (326), Pakistan (178), India (163) dan China (159), manakala selebihnya dari negara-negara lain.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata 422 fail siasatan dibuka bagi tujuan tindakan kompaun dan pendakwaan dengan 835 warga asing telah didakwa kerana melakukan pelbagai kesalahan, antaranya tinggal melebihi tempoh dibenarkan, tiada pas atau permit yang sah dan melanggar syarat pas atau permit.

Sementara itu Wan Mohamed Saupee berkata menerusi pelbagai operasi antaranya Ops Pemantauan, Ops Sapu, Ops Belanja, Ops Jaja dan Ops Kutip itu, JIM Kuala Lumpur telah mengutip kompaun berjumlah RM6.3 juta.

“Selain pendakwaan dan kompaun, JIM Kuala Lumpur turut mengusir 1,761 pendatang tanpa izin ke negara asal melibatkan 30 negara dan mereka disenarai hitam memasuki Malaysia pada masa depan,” katanya sambil menjelaskan semua siasatan dan tindakan dilakukan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan dan Akta Pasport 1966.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan