Tiga Individu Cedera Akibat Diserang Memerang Di Kota Kinabalu

11/09/2024 11:13 PM

KOTA KINABALU, 11 Sept (Bernama) -- Dua wanita masing-masing berusia 40 dan 54 tahun serta seorang lelaki berumur 56 tahun mengalami kecederaan selepas diserang sekumpulan memerang semasa melakukan aktiviti rekreasi di Tanjung Aru Perdana Park di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata polis menerima maklumat dalam kejadian 6.40 pagi tadi individu terbabit yang sedang berjoging telah diserang secara tiba-tiba oleh sekumpulan memerang dari arah belakang. 

"Ekoran dari serangan tersebut, ketiga-tiga mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian kaki, tangan dan kepala akibat gigitan dan cakaran. 

"Bagaimanapun, polis masih belum menerima sebarang laporan berkaitan kes tersebut," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Sementara itu, Datuk Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan notis pemakluman kepada pengusaha taman rekreasi tersebut agar menutup operasi serta-merta susulan insiden tersebut.

Beliau berkata langkah penutupan ini diambil bagi menjamin keselamatan pengunjung dan memberi laluan kepada pihak DBKK dengan kerjasama agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan lanjut.

"DBKK memandang serius insiden ini dan bertindak segera mengarahkan penutupan taman itu bagi mengelakkan sebarang insiden lain tidak diingini. Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan penutupan ini bagi memastikan keselamatan bersama," katanya menerusi kenyataan berasingan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan