PDRM Mungkin Panggil Pengurusan Tertinggi Syarikat Terbabit Eksploitasi Kanak-kanak

13/09/2024 04:56 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan memanggil pengurusan tertinggi sebuah syarikat tempatan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata bagaimanapun ketika ini pihaknya berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk berbuat demikian, kerana siasatan membabitkan rumah amal yang melibatkan syarikat berkenaan, masih lagi di peringkat awal.

“Kita akan panggil tetapi buat masa ini masih tiada keperluan,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada Rabu, PDRM melancarkan Op Global dan menyelamatkan 402 kanak-kanak daripada 20 buah rumah amal yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan, di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu Razarudin juga menafikan polis lewat mengambil tindakan berhubung kes berkenaan dan menjelaskan siasatan dijalankan terlebih dahulu sebelum tindakan diambil.

“Sebarang tindakan akan melalui proses siasatan merangkumi pengumpulan maklumat daripada pelbagai sudut.

“Tindakan polis adalah secara berterusan dan masa ini kita bertindak berdasarkan keterangan dan proses yang dijalankan telah mencukupi,” katanya.

Mengulas lanjut beliau juga menolak dakwaan bahawa syarikat berkenaan dilindungi oleh pihak berkuasa, susulan penularan gambar pengurusan tertinggi syarikat berkenaan bersama pegawai kanan PDRM.

Razarudin berkata beliau juga pernah mengambil gambar dengan individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan, ketika menyertai perlumbaan kuda lasak di Terengganu.

“Saya bergambar dengan mereka tidak bermaksud saya menyokong mereka, salah tetap salah, jika siasatan kami dapati ada unsur jenayah seperti ajaran yang menyeleweng dan jenayah seksual, tindakan tetap akan diambil,” katanya.

Mengulas dakwaan pihak polis tidak membenarkan mangsa yang diselamatkan menunaikan solat beliau berkata kebenaran berkenaan diberikan secara bergilir atas faktor keselamatan.

“Tak benar, mereka boleh solat secara bergilir atas faktor keselamatan, dakwaan kata polis tidak benarkan solat tak betul, malah mereka yang ditempatkan sementara di Pulapol ini, ada masjid di sini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan