Sabari Dipercayai Dibunuh, Mayat Dicampak Ke Dalam Sungai Padang Terap

30/09/2024 09:13 PM

ALOR SETAR, 30 Sept (Bernama) -- Misteri kehilangan pesara Felcra Sabari Baharom, 62, di Baling sejak 4 Sept lepas terjawab apabila polis mengesahkan mangsa telah dibunuh sebelum dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Jitra.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata pihaknya menahan dua suspek berusia 26 dan 38 tahun Jumaat lepas, yang disyaki telah mencampak mangsa ke dalam sungai dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.

“Kes orang hilang ini berjaya diselesaikan dan siasatan dilanjutkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan sehingga kini, mayat mangsa masih belum ditemui dan usaha mencari mangsa diteruskan oleh polis serta agensi lain.

“Polis telah memaklumkan perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa. Semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bekas pegawai kewangan itu hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Baling menaiki kereta jenis Proton Waja.

Kehilangan Sabari disedari anggota keluarga selepas telefon bimbitnya gagal dihubungi selain terdapat beberapa transaksi pengeluaran wang daripada akaun bank milik mangsa yang dikesan dilakukan dua hari selepas kehilangan beliau.

Kereta pesara itu pula ditemukan dalam keadaan hangus di Belantik, Sik namun tiada kelibat Sabari di dalam kenderaan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan