Peniaga Bebas Tuduhan Sebar Berita Palsu Suntikan Vaksin COVID-19

11/10/2024 03:06 PM

KUALA KANGSAR, 11 Okt (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang peniaga daripada pertuduhan menyebarkan berita tidak benar berhubung kematian seorang anggota polis yang kononnya disebabkan suntikan vaksin COVID-19, tiga tahun lepas.

Hakim Rohaida Ishak membebaskan Muhammad Zaki Omar, 39, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Ini bermaksud pihak pendakwaan telah gagal membuktikan sesuatu kes yang telah melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, oleh itu tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Firdaus Nor Azlan dan Datin Yasinnisa Begam Seeni Mohideen, manakala tertuduh diwakili Asiah Jalil.

Pada 13 Julai 2021 pertuduhan terhadap Muhammad Zaki yang juga seorang aktivis antivaksin di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (No.2) dibuat secara in absentia (tanpa kehadiran tertuduh) di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, kerana ketika itu tertuduh sedang bekerja di Singapura dan sempadan ditutup susulan COVID-19 serta waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Bagaimanapun pada 2 Ogos 2021 Muhammad Zaki dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar untuk pertuduhan dibaca semula dan tertuduh mengaku tidak bersalah serta diikat jamin RM10,000 dengan dua orang penjamin.

Pada 2 Dis 2022 Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar membebaskan lelaki itu selepas memutuskan tiada prima facie di akhir kes pendakwaan dan pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Taiping pada 6 Dis 2022.

Pada 7 Julai 2023, Mahkamah Tinggi Taiping membenarkan rayuan pendakwaan dan tertuduh diarah membela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No.2) 2021 yang jika disabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM100,000, atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam hal ini suatu kesalahan berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan