Imigresen Tahan Enam Warga Asing Salah Guna Pas Lawatan Sosial

11/10/2024 08:43 PM

BUTTERWORTH, 11 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang menahan enam warga asing kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai artis budaya dan membuat persembahan opera dalam serbuan di pekarangan sebuah rumah ibadat di sini semalam.

Pengarah Imigresen negeri Nur Zulfa Ibrahim berkata operasi dijalankan berdasarkan aduan diterima yang menyatakan terdapat sekumpulan warga asing tanpa permit sah membuat persembahan di pekarangan rumah ibadat terbabit.

"Ketika serbuan, kesemuanya yang lengkap dengan kostum watak masing-masing sedang membuat persembahan. Semakan pada pasport mendapati mereka hanya diberikan pas lawatan sosial serta tiada sebarang kebenaran yang tercatat di dalamnya,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook JIM Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata dua lelaki dan dua wanita warga Taiwan serta dua wanita Singapura berusia 40 hingga 60 tahun itu kini ditahan mengikut Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Nur Zulfa berkata berdasarkan peraturan semasa, artis perlu mengemukakan permohonan kepada Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) yang diwujudkan oleh kerajaan sebagai agensi setempat yang menyelaras permohonan penggambaran filem dan persembahan artis luar negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan