Kes Urus Niaga Dalaman: Tindakan Sivil SC Terhadap Peguam Tidak Dimulakan Dengan Betul

11/10/2024 11:10 PM

PUTRAJAYA, 11 Okt (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan di sini hari ini diberitahu bahawa tindakan sivil Suruhanjaya Sekuriti (SC) terhadap peguam korporat E. Sreesanthan berkaitan urus niaga dalaman melibatkan saham Worldwide Holdings pada 2006 tidak dimulakan dengan betul.

Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar berhujah ini kerana SC perlu memperoleh keizinan Peguam Negara (AG) sebelum memulakan tindakan sivil terhadap mana-mana individu.

Beliau berkata saman yang difailkan di bawah Seksyen 90A(5) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 terhadap pesalah urus niaga dalaman mempunyai kesan yang sama seperti pendakwaan jenayah kerana kedua-duanya bertujuan mengenakan hukuman.

Gurdial Singh berkata individu yang didapati bersalah melakukan urus niaga dalaman di bawah Seksyen 89E(4) akta sama berdepan hukuman maksimum denda RM1 juta dan penjara 10 tahun.

Peguam yang mewakili Sreesanthan itu berkata bagi saman sedemikian, SC diberi kuasa menuntut tiga kali ganda nilai keuntungan yang diperoleh, denda sehingga RM1 juta dan mengenakan perintah tambahan seperti melarang individu terbabit daripada memegang jawatan pengarah bagi tempoh tertentu.

Beliau berkata Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa eksklusif kepada AG untuk memulakan, mengendali atau menghentikan mana-mana prosiding bagi sebarang salah laku.

Gurdial Singh berkata kedua-dua kes sivil dan jenayah di bawah akta itu perlu dikemukakan bagi membolehkan AG menggunakan budi bicara beliau.

Beliau berkata demikian ketika merayu bagi pihak Sreesanthan di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Sreesanthan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada November 2020 yang mendapati beliau terlibat dalam urus niaga dalaman membabitkan saham Worldwide Holdings Bhd pada 2006.

Beliau telah diperintah membayar RM1.99 juta kepada SC iaitu tiga kali ganda nilai keuntungan yang diperoleh hasil urus niaga dalaman tersebut dan Sreesanthan juga diarah membayar RM1 juta kepada SC sebagai penalti sivil serta dilarang menjadi pengarah mana-mana syarikat tersenarai selama 10 tahun bermula pada 18 Nov 2020.

Pada 6 Sept 2022, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Sreesanthan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi. 

Pada April lepas, Sreesanthan memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan itu.

Sreesanthan didakwa memperoleh sejumlah 600,000 saham Worldwide antara 7 Jun dan 11 Julai 2006 semasa beliau memiliki maklumat material bukan awam berhubung cadangan penswastaan Worldwide oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor. 

Ketika itu, Sreesanthan adalah rakan kongsi kanan di sebuah firma guaman yang dilantik sebagai penasihat undang-undang bagi cadangan penswastaan Worldwide. 

Hasnah, yang mempengerusikan panel hakim Mahkamah Persekutuan, kemudian menangguhkan pendengaran ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Beliau turut mengarahkan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili AG sebagai sahabat mahkamah, memfailkan hujah selewat-lewatnya akhir bulan ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan