Kekerasan, Penderaan Antara Punca Insiden Tahanan Melarikan Diri Dari DISB - EAIC

16/10/2024 04:14 PM

PUTRAJAYA, 16 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati  kekerasan melampau dan penderaan yang dilakukan beberapa pegawai Jabatan Imigresen (JIM) terhadap tahanan etnik Rohingya adalah antara punca 131 tahanan meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB), Perak pada 1 Feb lepas. 

EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu adalah antara hasil siasatan yang dijalankan suruhanjaya tersebut berdasarkan aduan yang diterima, mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.

EAIC berkata kekerasan serta penderaan fizikal dan mental terhadap tahanan etnik Rohingya terlibat bermula sebelum mereka ditempatkan di DISB lagi, iaitu ketika mereka ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi, Kedah pada 2020 hingga 2021. 

Sehubungan itu, EAIC memaklumkan pihaknya memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai-pegawai yang terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JIM dan membuat laporan polis berhubung isu itu untuk siasatan lanjut.

Selain berlakunya kekerasan dan penderaan, EAIC turut mendapati pengawai JIM dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia yang bertugas di DISB didapati tidak peka terhadap keadaan sekeliling dan pegawai kanan serta penyelia fasiliti itu gagal memantau dan bertindak untuk mengawal keadaan semasa insiden berlaku.

EAIC juga merumuskan bahawa bangunan DISB, yang merupakan bekas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), mempunyai kelemahan infrastruktur yang tidak memenuhi standard yang diperlukan untuk berfungsi sebagai depot tahanan.

Dalam kejadian pada 9.50 malam 1 Feb lepas, 131 tahanan pendatang asing tanpa izin yang terdiri daripada 115 dari etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh, meloloskan diri dari DISB dengan merusuh dan merosakkan pagar depot.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan