Polis Tahan Tiga Warga Sierra Leone Dalang Sindiket Wang Palsu

17/10/2024 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Cubaan tiga warga Sierra Leone menjual wang palsu dolar Amerika Syarikat (USD) kepada pembeli tempatan gagal, selepas diberkas polis dalam serbuan di ibu negara.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 20 dan 30 tahun itu yang memasuki Malaysia sebagai pelajar di sebuah kolej universiti swasta di Selangor pada 2022 dan 2024, ditahan di sebuah kondominium, 2 Okt lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mereka dipercayai memulakan kegiatan itu sejak awal tahun ini dengan cara membeli wang palsu menerusi aplikasi media sosial pada harga hanya RM6.97 untuk 10,000 keping nota USD.

“Mereka akan menjual semula wang palsu tersebut kepada pembeli di Malaysia dengan harga RM1,000 untuk 10,000 keping,” katanya pada pemberita pada sidang media, di sini, hari ini. 

Ramli berkata sindiket terbabit dipercayai mendapat bekalan wang palsu daripada China.

Beliau berkata dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas empat keping nota USD100, dua keping kertas kosong bersaiz nota USD100, pasport dan dua kereta jenis Naza Forte dan Proton Iriz.

Kesemua yang ditahan direman hingga 21 Okt ini di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kes disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan