Polis Jasin Potong Bekalan Elektrik Di Lima Premis Judi Haram

18/10/2024 09:40 AM

JASIN, 18 Okt (Bernama) -- Lima premis yang menjalankan kegiatan perjudian di daerah ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi berkata tindakan itu dilakukan bagi melumpuhkan aktiviti perjudian haram terutama melibatkan judi dalam talian.

"Berdasarkan risikan, dua premis disyaki menjalankan aktiviti loteri awam tanpa lesen dan tambah nilai judi dalam talian manakala tiga lagi premis menjalankan penjualan tambah nilai judi dalam talian.

"Kesemua premis berkenaan baru dibuka dan kali pertama digempur, selain terdapat beberapa tangkapan melibatkan individu yang menjalankan aktiviti perjudian itu dilakukan dalam serbuan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan pemotongan elektrik dilakukan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan polis terus bekerjasama dengan TNB untuk menggempur premis yang menjalankan aktiviti perjudian di sekitar daerah itu.

Ahmad Jamil turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti judi haram supaya menyalurkannya ke balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan