KOTA BHARU, 6 Nov (Bernama) -- Dua bekas banduan yang dipercayai terlibat sekurang-kurangnya 20 kes rompakan kedai serbaneka di negeri ini berjaya ditahan di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Jumaat lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kedua-dua lelaki berumur 33 dan 34 tahun yang baru keluar dari penjara pada April lepas disyaki aktif melakukan kegiatan itu di sekitar bandar raya ini, Tumpat, Pasir Mas dan Jeli.
"Modus operandi mereka merompak pada waktu malam dan menggunakan peralatan seperti gergaji elektrik, mesin penebuk serta mesin pencanai untuk memecah masuk kedai serbaneka.
"Lelaki berusia 33 tahun memiliki satu rekod jenayah dan tiga rekod dadah manakala seorang lagi memiliki tujuh rekod jenayah serta empat rekod dadah," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata kedua-duanya yang positif dadah jenis Methamphetamine kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Mohd Yusoff berkata susulan itu, polis sedang memburu seorang lelaki, Muhammad Amir Izudin Mohd Izam, 26, yang dipercayai dalang kegiatan berkenaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitannya tampil memberi maklumat di balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial