Polis Tahan Tiga Individu Edar Jus Minuman Campuran Pelbagai Dadah

13/11/2024 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Polis menahan tiga individu disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran jus minuman campuran pelbagai jenis dadah di sekitar Lembah Klang dalam dua serbuan di sini 7 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia 26 hingga 32 tahun itu dipercayai mencampurkan pelbagai jenis dadah ke dalam jus minuman kotak dan botol sebelum dijual di dalam serta luar pusat hiburan. 

Beliau berkata dua lelaki itu diberkas di sebuah kondominium di Jalan Ampang dalam serbuan pertama pada 11.50 pagi susulan penemuan 490 gram ganja, 250 gram ketamin dan 58.73 gram serbuk disyaki Methylenedioxymethamphetamine (MDMA)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini hari ini.

Susulan soal siasat, beliau berkata polis kemudiannya menyerbu sebuah kondominium di Sungai Besi pada hari sama sebelum menahan seorang wanita bersama 55.43 gram ketamin, 341.95 gram serbuk MDMA, 18.81 gram pil ekstasi, 7.73 gram methamphetamine, 36.97 gram pil erimin 5 dan 67,000 mililiter (ml) cecair MDMA.

“Polis merampas wang tunai RM50,000 dalam kedua-dua serbuan, dengan nilai dadah yang dirampas dianggar RM115,122 dan boleh digunakan oleh 3,020 penagih,” katanya.

Beliau berkata nilai pasaran bagi jus dadah yang dibungkus semula dalam kotak air minuman itu boleh mencecah RM1,500 sekarton manakala harga sebotol dijual antara RM220 hingga RM480 mengikut saiz.

“Semua yang ditahan positif dadah, antaranya jenis methamphetamine dan ketamin. Mereka juga didapati mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah,” katanya.

Mohamad Lazim berkata semua suspek direman tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan