KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang sebelum ini tular kerana disyaki melarikan diri selepas melanggar seorang penunggang motosikal di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) pada Ahad lepas, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Sum Kah Fei, 34, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya, iaitu memandu secara melulu sehingga berlaku kemalangan dan tidak berhenti selepas kemalangan itu, dibacakan di hadapan Majistret Haneefa Ariffin.
Mengikut pertuduhan pertama, Sum yang juga seorang peniaga didakwa memandu kenderaan itu secara melulu sehingga berlaku perlanggaran dengan sebuah motosikal yang menyebabkan mangsa Muhammad Nur’Faiz Saini @ Ausaini, 34, mengalami kecederaan parah.
Kemalangan itu didakwa berlaku di sekitar SPE dari arah pusat bandar raya menghala ke Tol Wangsa Maju, di sini pada 12.35 tengah hari, 15 Dis lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki terbabit didakwa gagal memberhentikan kenderaannya selepas kemalangan itu pada tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 52(1) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif Ahjiman menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Peguam Quek Kia Ping yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar ikat jamin berkenaan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung isteri dan seorang anak.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 24 Feb tahun depan untuk sebutan kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial