KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan beliau berkaitan isu Batu Puteh yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata polis telah menerima laporan pada Isnin lepas berhubung kenyataan berkenaan yang dimuat naik di laman X milik Abdul Hadi.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi Bernama.
Razarudin berkata pihaknya akan memanggil Abdul Hadi dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial