KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dengan kes pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak dalam kejadian di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang-Sri Petaling di sini Jumaat lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kedua-dua lelaki berumur 22 dan 24 tahun itu ditahan hari ini di kediaman masing-masing di ibu negara dan Ampang, Selangor.
“Kedua-dua suspek direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis memandang serius berhubung kejadian ini dan menyeru orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa perbuatan yang salah di sisi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 21 Dis lepas, pihak polis mengesan satu video tular yang memaparkan kejadian pergaduhan di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang-Sri Petaling.
Insiden pergaduhan berkenaan melibatkan antara 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif dengan bertumbuk, membaling tong sampah serta menendang pintu tren hingga mengakibatkan kerosakan yang menyebabkan pihak Prasarana Malaysia Berhad membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial