OKU Mengaku Tidak Bersalah Buat Tuntutan Insurans Palsu RM1 Juta

30/12/2024 05:21 PM

BUTTERWORTH, 30 Dis (Bernama) -- Seorang Orang Kurang Upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat permohonan tuntutan kemalangan insurans disyaki palsu RM1 juta tahun lepas. 

Tan Kok Guan, 52, yang juga OKU penglihatan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan pada mata kiri untuk mendapatkan pampasan itu di Kampung Gajah di sini, antara pukul 9 pagi hingga 6 petang pada 8 Jun tahun lepas.

Dalam satu lagi pertuduhan, bapa kepada tiga anak yang juga seorang penganggur itu didakwa memperdaya sebuah syarikat insurans dengan membuat tuntutan disyaki palsu apabila mendorong syarikat itu memasukkan wang tunai RM4,153.57 ke dalam akaun Maybank milik tertuduh.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara pukul 9 pagi hingga 6 petang di Kampung Paya di sini, pada 20 Julai 2023.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreena Zainurin menawarkan jaminan RM16,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam Yaw Xinying memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan perlu bergantung kepada pendapatan isteri untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

“Anak guam saya merupakan OKU iaitu buta pada mata kiri, menghidap penyakit jantung dan strok. Dia juga telah memberi kerjasama sepanjang pihak polis menjalankan siasatan,” katanya.

Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, dan menetapkan 20 Feb depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan