Tipu Umrah: Polis Terima 31 Laporan, Mohon Sambung Reman

17/01/2025 07:23 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Polis menerima 31 laporan berkaitan kes penipuan umrah membabitkan kerugian RM2.1 juta setakat hari ini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 19 laporan dibuat oleh mangsa mewakili keluarga, manakala 11 laporan lagi dibuat oleh ejen yang mewakili kumpulan kecil.

“Terdapat satu laporan yang dibuat oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata polis akan memohon sambungan reman terhadap lapan individu termasuk pasangan suami isteri pemilik syarikat pelancongan itu, yang akan tamat esok bagi membantu siasatan.

Pada Rabu lepas, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Selangor menjalankan pemeriksaan di pejabat syarikat pelancongan berkenaan di Sepang, Selangor. 

Pada petang hari yang sama, pengarah urusan syarikat terbabit melakukan sidang media di ibu negara sebelum keadaan bertukar kecoh apabila lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan susulan kegagalan syarikat itu menerbangkan lebih 300 jemaah umrah ke Tanah Suci.

Siasatan awal mendapati syarikat terbabit mula menjalankan perniagaan sejak 2022 dan beroperasi dari premis tiga tingkat di Sepang sejak Oktober tahun lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan