Ketua Pegawai Operasi ProLintas Didakwa Terima Suapan RM70,000 Projek SUKE

27/01/2025 12:34 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Ketua Pegawai Operasi ProLintas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM70,000 daripada syarikat pembinaan berhubung projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE), dua tahun lepas.

Rostam Shahrif Tami, 59, didakwa menerima suapan itu daripada Syarikat Satunas Technologies Sdn Bhd melalui Mohd Rosman Alias sebagai upah bagi dirinya yang merupakan Wakil Pegawai Penguasa bagi Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat SUKE.

Ia sebagai dorongan untuk memberikan kerja No. 3 bertajuk To Construct End Cap Stressing And Shear Block dan To Install Expension Joint Including Hacking, Grouting And Nosing kepada syarikat itu bagi Pakej CA3 (CH4200 To CH7800).

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di hadapan tempat letak kereta sebuah masjid di Jalan Damai, Kampung Datuk Keramat, di sini pada 12 April 2023, sehubungan dengan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan dan dilarang kacau ganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad mewakili Rostam Shahrif yang bersetuju dengan jumlah jaminan ditawarkan pendakwaan, bagaimanapun membantah syarat tambahan, iaitu kacau ganggu saksi pendakwaan kerana ia tidak berasas untuk dikenakan terhadap anak guamnya.

"Tiada keperluan untuk mengenakan syarat tambahan kacau ganggu saksi pendakwaan kerana saya yakin dan percaya anak guam saya tidak akan ganggu saksi pendakwaan, maka tiada asas untuk membuat perintah sedemikian," katanya yang mengendalikan kes bersama peguam Ridha Abdah Subri. 

Dalam prosiding itu, Dzulkifli berkata difahamkan esok anak guamnya akan dituduh di Mahkamah Shah Alam, Selangor dan perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras.

 Hakim Rosli Ahmad kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Selangor sehingga kes selesai selain menetapkan 27 Feb untuk sebutan kes.

Sebelum ini media melaporkan, SPRM dalam kenyataan memaklumkan mendapat izin untuk mendakwa seorang Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat konsesi lebuh raya berikutan disyaki terlibat rasuah melibatkan projek lebuh raya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata unsur rasuah itu dikesan melibatkan Projek Penswastaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang bernilai lebih RM1 bilion selain Projek Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam bernilai RM4.8 bilion.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan