KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menahan 188 pendatang tanpa izin ketika sedang leka “melayan” muzik “dugem” (dunia gemerlap) dalam operasi khas di sebuah pusat hiburan di kawasan Pudu di sini, kira-kira 2 pagi pada Rabu.
JIM dalam kenyataan memaklumkan ketika operasi itu, sebanyak 310 individu terdiri daripada 128 lelaki dan 116 wanita warga asing serta 66 warga tempatan telah diperiksa.
Hasil pemeriksaan, JIM menahan 106 lelaki dan 79 wanita warganegara Indonesia, seorang lelaki dan wanita warga Kemboja serta seorang lelaki Nepal berumur antara 21 hingga 35 tahun atas pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
Kenyataan itu menyebut, kesemua warga asing terbabit ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lenggeng, Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.
JIM turut mengeluarkan lapan saman terhadap penyelia, penjaga premis serta seorang wanita yang bertindak sebagai DJ di pusat hiburan tersebut.
Menurut kenyataan itu, premis berkenaan memulakan aktiviti perniagaan pada 11 malam hingga 5 pagi dan menyediakan khidmat DJ warga tempatan dan asing untuk menarik kehadiran warga asing.
Operasi khas berkenaan disertai 129 pegawai JIM selain 11 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial