KUANTAN, 6 Ogos (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pecah amanah membabitkan cip kasino bernilai RM3 juta di Genting Highlands, Bentong.
Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pengurus syarikat junket berusia 32 tahun yang memaklumkan bahawa cip kasino berkenaan telah dibawa lari ketika berada di sebuah bilik kasino tertutup di pusat peranginan itu.
“Siasatan awal polis telah mengenal pasti seorang suspek merupakan warganegara tempatan berusia 44 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 14 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Bentong di talian 09-2222222 atau mengunjungi mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial