Warga India Ganas, Isteri Dan Anak Jadi Mangsa

08/08/2025 04:44 PM

LABUAN, 8 Ogos (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga India berusia 34 tahun berhubung kejadian keganasan rumah tangga yang menyebabkan isterinya dan anak lelaki berusia 10 tahun cedera parah di Kampung Tanjung Aru, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Labuan DSP Robin @ Ridzuan Ismail berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1.25 pagi selepas berlaku pertengkaran antara suspek dengan isterinya yang berusia 38 tahun.

“Suspek dipercayai memukul mangsa menggunakan botol minuman keras sehingga menyebabkan kecederaan pada hidung, mulut dan belakang kepala.

“Anak lelaki mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan turut mengalami luka parah pada pipi kiri. Kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Labuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan berjaya menahan suspek pada pukul 8 malam, hari yang sama.

Suspek direman hingga 13 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

“Polis Labuan memandang serius semua bentuk keganasan rumah tangga dan tidak akan berkompromi dalam kes penderaan fizikal terhadap wanita serta kanak-kanak,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan