Saman Fitnah: Usahawan Tuntut Rafidah Ibrahim Bayar Ganti Rugi Lebih RM200,000 Dalam Tempoh Tujuh Hari

22/09/2025 02:53 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Seorang usahawan menuntut agar selebriti merangkap aktivis Rafidah Ibrahim membayar ganti rugi berjumlah RM281,200 kepada beliau dan syarikatnya dalam tempoh tujuh hari berhubung kes saman terhadap wanita itu.

Pada 31 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan saman dikemukakan Datuk Haris Embong, 48, serta syarikatnya Arisprop Holdings Sdn Bhd dan memerintahkan Rafidah, 39, membayar ganti rugi itu.

Firma guaman yang mewakil Haris iaitu Izral Partnership dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah menghantar notis kepada peguam Rafidah di Shah Alam pada 20 Ogos 2024 bagi menuntut pembayaran seperti diperintahkan namun defendan atau wakilnya gagal menyelesaikannya.

Menurut firma itu, pihaknya sekali lagi menghantar notis pada 19 Sept lepas kepada firma guaman baharu di Gombak yang mewakili Rafidah bagi menuntut pembayaran berkenaan.

“Kami telah diarahkan sekali lagi oleh anak guam agar Rafidah membuat bayaran berjumlah RM281,200 dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat ini (19 Sept) dan sekiranya gagal, anak guam kami akan mengambil tindakan yang perlu,” menurut kenyataan itu.

Firma guaman itu memaklumkan pihaknya diarah oleh anak guam untuk menuntut bayaran mengikut perintah Mahkamah Tinggi iaitu ganti rugi sebanyak RM100,000 yang perlu dibayar kepada Haris, ganti rugi RM150,000 yang perlu dibayar kepada Arisprop Holdings, kos RM30,000 dan yuran peruntukan sebanyak RM1,200.

Sementara itu, Haris berkata pihaknya telah memberi banyak masa kepada Rafidah untuk menyelesaikan tuntutan namun ia tidak berlaku hinggalah hari ini.

“Tuntutan ini adalah untuk membersihkan imej saya dan syarikat atas tuduhan fitnah yang dibuat. Semua orang mempunyai perjuangan menuntut hak dan keadilan. Begitu juga saya. Ini adalah perjuangan menuntut hak dan keadilan untuk saya dan syarikat serta menghormati keputusan Mahkamah Tinggi," menurutnya dalam kenyataan itu.

Saman Haris yang difailkan pada Oktober 2021 menyatakan bahawa Rafidah, yang juga pempengaruh media sosial, telah menerbitkan dua hantaran di Facebook pada 21 Sept 2021 dan 18 Okt 2021, mendakwa beliau enggan membayar hasil kerja selebriti itu.

Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee dalam keputusannya berkata mahkamah mendapati hantaran kedua yang diterbitkan Rafidah adalah fitnah kerana perkataan yang digunakan telah Haris kepada kebencian, cemuhan atau penghinaan.

Mahkamah juga menolak tuntutan balas yang dikemukakan Rafidah terhadap kedua-dua plaintif untuk menuntut antaranya wang sebanyak RM4,000 bagi gaji tertunggak bulan Ogos 2021 dan kos kemudahan sebanyak RM3,550 yang dipersetujui dalam kontrak pelantikan defendan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan