KPDN Lupus Pelbagai Jenis Barangan Rampasan Bernilai Lebih RM1 Juta

22/09/2025 04:04 PM

IPOH, 22 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melupuskan pelbagai jenis barangan rampasan bernilai RM1.25 juta sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah KPDN Perak Mohamad Kamarol Mat Nor berkata rampasan itu ialah hasil tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan pihaknya melibatkan barangan seperti makanan yang menggunakan logo halal palsu, sabun tiruan, telefon bimbit dan aksesori tiruan.

Beliau berkata selain itu, barangan rampasan terbabit termasuk pam minyak, hos, tangki intermediate bulk container (IBC) dan juga kenderaan.

"Kesemua barangan kes ini melibatkan rampasan kes yang dihasilkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Cap Dagang 2019.

"Barangan yang dilupuskan hari ini juga adalah antara kejayaan hasil tindakan operasi melalui Ops Tiris 3.0 bertujuan memperkukuh usaha penguatkuasaan dan membanteras sebarang bentuk penyelewengan subsidi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Pelupusan Ekshibit Perdana KPDN Perak 2026 di Stor Ekshibit KPDN Perak di Chemor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Kamarol berkata sebanyak RM3.22 juta nilai rampasan pelbagai jenis barangan direkodkan bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

"Nilai denda pada tahun ini berjumlah RM434,000 manakala nilai kompaun pula sebanyak RM1.33 juta direkodkan bagi tempoh yang sama," katanya.

Sementara itu, Mohamad Kamarol berkata pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan terhadap 84,079 premis di seluruh negeri dan sebanyak 941 kes diambil tindakan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya melibatkan rampasan barang kawalan diesel dan gas petroleum cecair (LPG) di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan