SIBU, 10 Mei (Bernama) -- Seorang wanita warga emas maut manakala tujuh lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 17.7 Jalan Sibu-Selangau, Lebuh Raya Pan Borneo malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa, Yap Li Yun, 66, yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan MPV Perodua Aruz disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.49 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah digegaskan ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri sedang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan, dua lagi penumpang cedera manakala pemandu tidak mengalami kecederaan. Kesemua mangsa berusia antara 56 hingga 76 tahun.
“Pemandu lelaki serta tiga penumpang wanita kenderaan pacuan empat roda pula tidak mengalami kecederaan,” menurut jurucakap itu menerusi kenyataan hari ini.
Anggota bomba menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa selepas menstabilkan kenderaan yang terbalik mengiring dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat tamat pada 11.14 malam selepas kerja pembersihan selesai dijalankan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial