AM

KERJASAMA BNC, IFLIX SIAR BERITA BERNAMA SECARA LANGSUNG BERMULA ESOK

28/08/2018 01:22 AM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) – iflix, pembekal perkhidmatan hiburan, mengumumkan kerjasama dengan Bernama News Channel (BNC) bagi menyampaikan berita terkini secara langsung kepada pengguna iflix.

Penstriman berita 24 jam secara langsung ini dapat diakses secara percuma bermula esok (28 Ogos).

Pengurus Negara iflix bagi Malaysia dan Brunei, Diana Boo berkata BNC dipilih sebagai salah satu saluran berita dalam ‘iflix News’ kerana agensi berita itu menyediakan berita terkini, tepat dan relevan untuk rakyat negara ini.

Menurutnya, kerjasama itu membuka lembaran baharu kepada iflix untuk memberikan informasi dan maklumat hal ehwal semasa kepada pengguna dan tidak terhad kepada rancangan televisyen, filem dan sukan.

“Kami berharap kerjasama ini dapat mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai satu platform yang menyeluruh untuk semua pengguna,” katanya selepas menyertai Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) iflix dan BNC di Wisma Bernama di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif iflix Marc Barnett dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh.

Sementara itu, Ketua Pengarah Operasi BNC Hakimi Zuffrida Mohd Zain berkata kerjasama itu dijangka dapat menambah bilangan penonton global sekali gus memberi manfaat kepada BNC dan juga iflix.

“BNC dipilih sebagai penyedia berita tempatan yang pertama bagi siaran berita di iflix dan percaya kita boleh menyampaikan berita kepada audien yang lebih luas.

“Kita menjanjikan berita yang tepat dan berkredibilti kepada pengguna. Selain itu kita dalam rangka menyediakan kandungan baharu namun perkara itu masih dalam perbincangan,” katanya.

Iflix yang memiliki pelanggan di 28 buah negara iaitu sebanyak 15 juta  termasuk empat juta di Malaysia, merupakan peneraju perkhidmatan hiburan untuk pasaran membangun dengan senarai tontonan pelbagai pilihan rancangan yang menarik.

Sebelum ini CNN adalah satu-satunya saluran berita secara langsung yang disiarkan menerusi iflix.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan