AM

PELBAGAI KAUM, BANGSA, AGAMA HADIR PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DAN JALUR GEMILANG 2024 DI CYBERJAYA

21/07/2024 02:13 PM

CYBERJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang diadakan di sini, hari ini tidak sahaja menarik perhatian warga semenanjung malah turut mendapat sambutan baik daripada masyarakat Sabah, Sarawak serta warga asing.

Seorang petugas agensi pelancongan Farihah Fuaad, 28, yang berasal dari Sarawak ketika ditemui di majlis pelancaran itu di sini berkata beliau dan beberapa rakannya cukup teruja untuk merasa laksa Sarawak yang dijual di sini.

"Saya baru sahaja pindah ke Cyberjaya dalam tempoh setahun untuk berkerja, dan sambutan seumpama ini membuatkan saya merasa selesa berada di sini. Apabila saya nampak reruai menujual laksa Sarawak, saya terus tidak melepaskan peluang untuk mendapatkannya, laksa Sarawak memang agak sukar ditemukan di semenanjung,” katanya.

Senada dengannya, ahli perniagaan Steffani Nerri, 36, dari Sabah meluahkan rasa teruja untuk meneroka reruai pelbagai negeri termasuk negerinya yang mempamerkan pelbagai jenis makanan tradisional dari Negeri di Bawah Bayu itu.

"Saya belum sampai ke negeri Johor, dan baru tadi saya tertarik dengan reruai daru negeri itu, dan saya dapat mencuba kuih yang dinamakan kuih diraja," katanya sambil memuji inisiatif kerajaan dalam menganjurkan program yang dapat memupuk perpaduan serta menambah pemahaman rakyat mengenai budaya masyarakat dan negeri lain.

Sementara itu seorang petugas syarikat pembuatan Amelia Ang, 66, yang berkunjung ke karnival rakyat ini bersama rakan-rakannya berpandangan program sebegini sangat membantu memupuk perpaduan selain  memberi peluang kepadanya mengenali lebih rapat kepelbagaian budaya, produk serta kesenian pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.

"Saya belum pernah kunjungi program seumpama ini sebelum ini, dan ia sebenarnya satu program yang amat baik. Banyak perkongsian ilmu mengenai produk-produk Malaysia ada di sini,” katanya yang datang dari Petaling Jaya, Selangor, awal pagi ini.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang berkonsepkan karnival rakyat yang dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ini merupakan wadah untuk terus menyuburkan semangat kenegaraan dan patriotisme. 

Sambutan ini adalah bagi memulakan kiraan detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos di Putrajaya dan sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 Sept ini di Sabah. 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 dan pelbagai program yang diadakan sepanjang bulan kebangsaan di laman sesawang  ww.merdeka360.my.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan