EKONOMI

SERBA DINAMIK SASAR PERTUMBUHAN 2020 PADA 10-15 PERATUS

14/05/2020 08:09 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei  -- Rangkaian penyelesaian kejuruteraan bersepadu global, Serba Dinamik Holdings Bhd menyasarkan pertumbuhan 10-15 peratus pada 2020 bagi jualan kasar dan pendapatan bersihnya berbanding tahun sebelum ini iaitu15-20 peratus. 

Ini berikutan gangguan terhadap kemajuannya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpunca daripada pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan ketidakstabilan ekonomi global.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah berkata syarikat itu yakin dapat mencapai sasaran kerana ia telah melaksanakan pelan bagi meningkatkan pendapatan bukan minyak dan gas (O&G) kepada kira-kira 70 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang, di samping mengurangkan pergantungan terhadap sektor O&G kepada lebih kurang 30 peratus.

Secara keseluruhan, tempahan dalam tangan Serba Dinamik pada masa ini adalah sebanyak RM17 bilion, yang mana, 45 peratus datang daripada O&G, manakala 55 peratus lagi datang daripada hasil-hasil bukan O&G.    

“Kami terangsang selepas aktiviti ekonomi mula berjalan penuh. Kami telah bekerja keras untuk memastikan bahawa pengendalian di Malaysia dan pada peringkat global beroperasi serta berada pada posisi terbaik bagi menangani cabaran mereka.

“Di bawah segmen perniagaan operasi dan penyelenggaraan (O&M), walaupun harga minyak menjunam, platform pengeluaran masih berjalan. 

“Akibatnya, kontrak kami masih aktif dan digunakan memandangkan peralatan seperti itu perlu dikekalkan untuk memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik bagi menjalankan pengeluaran,” katanya dalam temuramah secara dalam talian dengan media hari ini. 

Beliau ketika bercakap mengenai segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kumpulan, berkata 55 peratus daripada tempahan dalam tangannya datang daripada aktiviti yang tidak berkaitan dengan O&G seperti loji alkali Chlor di Tanzania yang menggunakan garam bagi menghasilkan air garam untuk pengeluaran klorin. 

Selain EPCC, lain-lain penyumbang pendapatan bukan O&G dijangka datang daripada loji janakuasa hidro kumpulan di Kota Marudu, Sabah termasuk sebuah pembangunan hab inovasi di Arab Saudi dan beberapa projek yang berkaitan dengan penyelesaian teknologi maklumat bersepadu, terutamanya yang terkait dengan Revolusi Industri 4.0.

Katanya, pengambilalihan University Malaysia of Computer Science & Engineering (UNIMY) pada awal tahun ini bakal menjadi penyumbang hasil, yang mana, ia sedang membangunkan institusi itu sebagai institusi pengajian tinggi yang ulung dan akan dikembangkan secara global tidak lama lagi. 

Serba Dinamik, baru-baru ini telah melaksanakan aktiviti penempatan persendirian, ia memperolehi sebanyak RM456.7 juta pada 24 April 2020, dengan tujuan untuk mengimbangi hutang dengan beberapa institusi kewangan dan menyediakan modal kerja kepada projek yang sedia ada.

Mohd Abdul Karim berkata, langkah itu juga bertujuan untuk memastikan supaya kumpulan dapat mengekalkan dan menguruskan kaedah strategiknya, di samping memastikan agar sasaran penjualan serta hasil pada 2020 boleh dicapai.

Affin Hwang Investment Bank, CIMB Investment Bank dan Credit Suisse merupakan jurubank yang dilantik bagi penempatan saham itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan