EKONOMI

Mci Capital Lancar Dana Pertumbuhan Mampan Rm500 Juta

24/04/2024 10:59 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- MCI Capital Sdn Bhd telah melancarkan Dana Pertumbuhan Mampan MCI sehingga RM500 juta selama lima tahun.

Syarikat itu berkata dana berkenaan adalah untuk menyokong integrasi prinsip-prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam perniagaan Malaysia yang berfokuskan pembangunan ekonomi yang mampan.

MCI Capital ialah firma ekuiti persendirian di Malaysia, yang diiktiraf kerana penyelesaian pelaburan strategiknya dan komitmen kepada piawaian integriti dan pematuhan yang tinggi.

Pengerusinya Cannis Chan berkata syarikat itu merancang untuk melabur dana itu ke dalam syarikat-syarikat di Malaysia yang memberi tumpuan kepada prinsip-prinsip ESG.

“Pada tahun ini kami ingin mengembangkan visi, misi dan kepentingan syarikat tersebut selaras dengan prinsip ESG untuk dwi penyenaraian khususnya di Malaysia dan Singapura atau di negara lain bagi membolehkan syarikat mengakses dana yang lebih luas di peringkat global.

"Kami juga bekerjasama dengan firma sekuriti di Singapura untuk membolehkan pelaksanaan dwi penyenaraian," katanya selepas majlis pelancaran Dana Pertumbuhan Mampan MCI, di sini hari ini.

Dana itu bertujuan untuk memanfaatkan peralihan global ke arah kemampanan, memberikan pelabur peluang untuk melibatkan diri dalam portfolio kepelbagaian yang turut merangkumi pasaran ekuiti dan lain-lain.

Ia berkata dana itu mewakili penjajaran strategik dengan trend pelaburan global yang mengutamakan kemampanan jangka panjang di samping metrik kewangan tradisional.

Sementara itu, Chan berkata selain Dana Pertumbuhan Mampan MCI, syarikat itu juga merancang untuk melancarkan satu lagi dana bulan depan yang memfokuskan kepada hiburan dan aspek-aspek alam sekitar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan