KOTA KINABALU, 29 Okt -- Kerajaan Negeri Sabah akan menyalurkan bantuan RM300 seorang kepada penggiat industri pelancongan di negeri ini bagi membantu meringankan beban kos sara hidup selepas punca pendapatan mereka terjejas akibat penularan COVID-19.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata bantuan itu akan disalurkan kepada 3,957 individu termasuk malim gunung, porter, pemandu pelancong, ketua selam.
”Kerajaan Sabah telah meluluskan penambahan peruntukan Bantuan Prihatin COVID-19 berjumlah RM160 juta, dan daripada jumlah itu, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menerima lebih RM1 juta,” katanya.
Jafry berkata demikian dalam satu perjumpaan bersama Ahli Lembaga Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Persatuan Malim Gunung dan Persatuan Porter di sini, hari ini.
Antara perkara dibincangkan dalam pertemuan itu ialah kebajikan kakitangan TTS dan usaha menaik taraf infrastruktur pelancongan di Sabah yang mampu menandingi sektor pelancongan antarabangsa.
Jafry turut meminta semua penggiat sektor pelancongan yang terjejas susulan penularan COVID-19 untuk terus tabah, dan dalam masa sama, memperbaiki semua tempat pelancongan yang ada untuk persediaan menerima kedatangan pelancong di masa akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial