AM

Mardi Kelantan hasil 40 usahawan berjaya

31/12/2020 07:20 PM

TUMPAT, 31 Dis  -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kelantan telah membimbing seramai 40 usahawan dalam perniagaan mereka berserta bantuan geran berjumlah RM775,000 dari 2015 hingga kini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau berkata, berdasarkan analisa nilai jualan kasar tahunan, 21 daripada jumlah usahawan berkenaan berada pada tahap empat iaitu menjana pendapatan lebih RM300,000 hingga RM5 juta, manakala 17 usahawan lagi, berada pada tahap tiga (pendapatan antara RM100,000 hingga RM300,000).

“Rezeki Tani yang merupakan inisiatif agensi itu untuk meningkatkan pendapatan usahawan dalam industri kecil dan sederhana pula, berjaya membimbing 508 peserta di Kelantan sejak 2012 hingga 2018.

“Pada 2019, seramai 14 peserta telah menerima bantuan peralatan dan latihan sebanyak RM140,000, manakala tahun ini, 11 peserta sedang dibimbing dengan bantuan bernilai RM110,000 di bawah MARDI Kelantan,” katanya selepas Majlis Penyerahan ‘Touchpoint’ kepada Usahawan Bimbingan, Agropreneur Muda dan Peserta Rezeki Tani MARDI Kelantan, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.

Pada majlis itu, Che Abdullah turut menyampaikan Geran Pemadanan HIP (Produk Berimpak Tinggi) berjumlah RM150,000 kepada pengasas MH Mohd Industries Sdn Bhd, Muhamad Yusoff.

Terdahulu Che Abdullah mengadakan lawatan ke beberapa premis perniagaan yang diusahakan usahawan di bawah bimbingan MARDI Kelantan, antaranya Akif Cafe yang menghasilkan pelbagai produk kopi, Berkat Rezeki Yieana (produk santan) serta Fatin Licious Legacy (produk berasaskan pekasam).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan