DUNIA

Paris semarakkan semangat untuk jerman bida anjur Olimpik 2040 - Faeser

28/07/2024 02:36 AM

PARIS, 28 Julai (Bernama-dpa) -- Upacara pembukaan yang menakjubkan Sukan Olimpik Paris meyakinkan Menteri Sukan Jerman Nancy Faeser bahawa negaranya harus mengemukakan bidaan untuk menganjurkan Sukan Olimpik Musim Panas 2040, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Persekutuan Sukan Olimpik Jerman (DOSB) sedang mempertimbangkan bidaan pada 2036 atau 2040, dengan Berlin, Munich, Hamburg, Leipzig dan kawasan Rhine-Ruhr semuanya berminat, mungkin dalam bidaan bersama dengan bandar raya lain.

DOSB menyukai idea Jerman menjadi tuan rumah 100 tahun selepas Sukan Olimpik Berlin 1936, tetapi Faeser sekali lagi memberi bayangan bahawa 2040 adalah lebih realistik selepas Kabinet Jerman memberikan lampu hijau untuk bidaan itu.

"Kami sangat teruja dengan upacara pembukaan. Walaupun cuaca buruk, apa yang dipersembahkan oleh Perancis adalah luar biasa," kata Faeser yang juga Menteri Dalam Negeri kepada pemberita selepas melawat Perkampungan Olimpik pada Sabtu.

"Apa yang saya sangat sukai ialah Perancis menganjurkan sambutan hebat di banyak tempat di seluruh Paris, jadi ramai penduduk dapat turut serta."

Beliau berkata Jerman akan cuba menandingi standard Paris "jika kami dianugerahkan Sukan Olimpik untuk 2040."

Upacara pembukaan diadakan secara unik di sepanjang Sungai Seine, dengan Menara Eiffel dan Louvre antara pemandangan terkenal yang disertakan, sementara obor Olimpik digantung dari belon udara panas di tengah-tengah bandar dan bukannya dalam kawah di stadium.

"Adalah penting untuk membawa penduduk bersama anda dalam perjalanan ini dan menunjukkan di mana kelebihannya dan apa yang boleh dibawa kepada negara." kata Faeser yang menyedari bahawa bidaan ke ats temasya sukan itu sebelum ini dari Munich dan Hamburg gagal selepas penduduk tempatan mengundi menentangnya.

Kali terakhir Jerman menjadi tuan rumah Sukan Olimpik di Munich pada 1972.

-- BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan