AM

NAIB CANSELOR UNIVERSITI UCSI MENINGGAL DUNIA

05/04/2021 10:42 PM

KUALA LUMPUR, 5 April -- Presiden dan Naib Canselor Universiti UCSI (UCSI) Profesor Kanan Datuk Dr Khalid Yusoff, 66, meninggal dunia tengah hari tadi di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Kumpulan UCSI Datuk Peter Ng dalam kenyataannya hari ini memaklumkan universiti itu merakamkan ucapan takziah atas kehilangan besar dalam bidang akademik Malaysia dan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang tidak akan ‘berehat’ dengan kejayaan.

“Beliau telah memberi kesan mendalam terhadap pengalaman pelajar UCSI. Beliau sendiri menguruskan kerjasama dengan Universiti Harvard untuk memperkasakan pelajar perubatan kita dengan peluang mengikuti program penyelidikan berimpak tinggi di universiti terbaik dunia,” katanya.

Allahyarham memainkan peranan penting dalam meningkatkan kedudukan UCSI dan sejak beliau menerajui universiti itu pada 2013, UCSI telah menerima pelbagai pengiktirafan akademik selain berjaya mewujudkan kerjasama strategik dengan universiti terkemuka dunia termasuk Universiti Harvard.

Di bawah kepimpinannya juga, UCSI muncul sebagai universiti swasta terbaik di Malaysia dua tahun berturut-turut bagi QS World University Rankings 2019 dan 2020 malah pencapaian bagi Penarafan Bersepadu Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Setara) 2018/2019, UCSI berjaya mencapai 5 bintang sebagai Universiti Matang.

Allahyarham mendapat latihan sebagai pakar kardiologi yang memulakan karier perubatannya sebagai pelajar di Universiti Melbourne, Australia sebelum menjalani latihan di Universiti Newcastle-upon-Tyne, United Kingdom.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan