JENAYAH & MAHKAMAH

KANAK-KANAK PEREMPUAN HILANG DICULIK, DITEMUKAN SELAMAT DI HOTEL MURAH DI BATANG KALI

23/07/2024 01:01 PM

JOHOR BAHRU, 23 Julai (Bernama) -- Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang hilang di pusat beli-belah di Iskandar Puteri, Sabtu lepas, ditemui selamat di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor awal pagi tadi.

Ketua Polis negeri CP M Kumar berkata Albertine Leo Jia Hui yang diculik berjaya diselamatkan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSNJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dibantu JSJN Bukit Aman pada 4.45 pagi.

Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang ditemui bersama kanak-kanak itu.

“Mangsa selamat, tiada kecederaan fizikal setakat ini dan dihantar ke sebuah hospital untuk pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak itu dilarikan dengan sebuah kereta dan motif penculikan masih disiasat. 

Keluarga mangsa juga memaklumkan tidak menerima sebarang panggilan daripada mana-mana pihak meminta wang tebusan, katanya.

Kumar berkata penahanan lelaki terbabit menjadikan keseluruhan lima individu berusia 28 hingga 55 tahun telah ditahan bagi siasatan kes itu dan kesemuanya tidak mempunyai hubungan dengan Albertine. 

Beliau berkata dua lelaki dan dua wanita ditahan di sekitar Iskandar Puteri semalam dan direman selama empat hari bermula hari ini, manakala lelaki yang ditahan di Batang Kali itu akan dibawa ke Johor untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan