AM

Digital Mersing inisiatif KPLB naik taraf komuniti setempat ke arah digitalisasi

10/04/2021 09:55 PM

MERSING, 10 April -- Digital Mersing yang dilaksanakan sejak 1 Mac lepas merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam usaha menaik taraf komuniti setempat ke arah digitalisasi khususnya pelaksanaan transaksi tanpa tunai.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata melalui inisiatif KPLB itu, ia diharap dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya 100 usahawan luar bandar daerah itu berdaftar dengan Digital Mersing, sebelum Jun depan.

Kini terdapat seramai 80 usahawan berdaftar di bawah program tersebut.

Dr Abdul Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing berkata usaha itu bertepatan dengan perkembangan Malaysia sebagai negara maju dari aspek ekonomi dan teknologi menjelang 2030 serta pemulihan sosioekonomi terutama pasca COVID-19.

"Digital Mersing telah dilancarkan pada fasa pertama iaitu membabitkan pengaktifan transaksi tanpa tunai, sumbangan dekoder MyTv, Desamall dan bantuan perniagaan nano.

 "Selain itu, promoter Digital Mersing juga sedang giat bertemu dengan usahawan di sini (Mersing) bagi meningkatkan kesedaran mereka (usahawan) dalam mengaktifkan transaksi tanpa tunai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Digital Mersing di Pusat Komuniti Desa Air Merah, di sini hari ini.

Dr Abdul Latiff berkata menjadi hasrat KPLB untuk menggalakkan masyarakat mendapatkan produk desa melalui platform digital sekali gus membudayakan urus niaga tanpa tunai.

"Ini adalah satu usaha pendigitalan negara selaras dengan hasrat kerajaan menggalakkan penggunaan transaksi tanpa sentuhan lebih-lebih lagi dalam situasi negara memerangi pandemik COVID-19. 

"Selain itu, penduduk Mersing juga boleh mendaftar permohonan melalui laman web Digital Mersing bagi tujuan sumbangan prihatin bencana, pesakit serta pendidikan," katanya.

Menurut beliau pembangunan Digital Mersing bukan saja dapat memudahkan urusan jual beli komuniti di daerah itu malah membantu usahawan dari segi dokumentasi transaksi perniagaan untuk digunakan pada masa hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan