EKONOMI

UPS sedia kembangkan kehadirannya di Malaysia di tengah ledakan e-dagang

20/06/2021 10:28 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 20 Jun -- Syarikat perkapalan dan logistik global United Parcel Service (UPS) bersedia mengembangkan kehadirannya di Malaysia tahun ini di tengah-tengah ledakan e-dagang menerusi kerjasama dengan ParcelHub.

Presiden (Asia Selatan) Matt Parkey menyatakan UPS telah melihat e-dagang, penghantaran bungkusan dan pengurusan logistik berkembang dalam tempoh 12 bulan lepas dan permintaan berada pada tahap tinggi sepanjang masa, justeru, syarikat Amerika itu telah bersedia mengambil kesempatan di atas trend ini dan memanfaatkan 200 cawangan ParcelHub.

Pada masa ini, UPS menjalin kerjasama dengan kurier runcit Mail Boxes Etc, yang mempunyai lebih daripada 90 cawangan di Malaysia.

"Walaupun terdapat kesan jangka pendek akan kebangkitan semula pandemik COVID-19, Malaysia mempunyai asas pertumbuhan jangka panjang yang kukuh dan asas-asas inilah menjadi petanda baik bagi banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyokong industri di sepanjang rantaian nilai.

"Fokus UPS sekarang adalah untuk meningkatkan daya tahan PKS dan akses mereka ke pasaran global. Pandemik ini telah mendedahkan kelemahan dalam rantai bekalan dan PKS adalah antara yang paling teruk terjejas. Sepanjang tahun lepas, kami membantu banyak perniagaan tradisional secara dalam talian untuk menjangkau pelanggan baharu di tengah-tengah permintaan domestik yang ketat dan penutupan kedai fizikal, " katanya kepada Bernama.

Parkey berkata PKS membentuk 98.5 peratus daripada perniagaan di Malaysia dan mereka adalah tonggak ekonomi negara dan kejayaan mereka sangat penting untuk pemulihan yang lebih luas.

Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus pada bulan lepas mendedahkan purata indeks jualan runcit dalam talian adalah sekitar 33 peratus antara bulan Mac dan Disember tahun lepas berbanding 22 peratus pada awal tahun 2020.

Kaji selidik lain mengenai COVID-19 pula mendapati bahawa 57 peratus rakyat Malaysia membeli-belah dalam talian lebih banyak daripada yang pernah mereka lakukan sebelum pandemik, sekali gus menjuruskan kepada ledakan perbelanjaan dalam talian yang belum pernah terjadi di dalam negara sebelum ini.

Menyentuh mengenai sektor eksport, dengan mengambil contoh unjuran Oxford Economics, Parkey berkata sektor itu akan melonjakkan ekonomi ASEAN-6 tahun ini, dengan ekonomi Malaysia meningkatkan keupayaan pembuatan nilai tambahnya untuk memanfaatkan peralihan rantaian bekalan.

Mengulas mengenai landskap ekonomi Malaysia, beliau berkata negara ini telah berjaya dalam produk elektrik dan elektronik, yang kekal sebagai penjana eksport utama pada 2020.

"Lebih daripada 50 syarikat semikonduktor mempunyai pelaburan di Malaysia, termasuk Intel dan AMD. Lam Research, sebuah syarikat AS yang mereka bentuk dan mengeluarkan peralatan pemprosesan semikonduktor pula baru-baru ini telah memasukkan Pulau Pinang ke dalam senarai lokasi pengeluaran globalnya, termasuklah AS, Korea Selatan dan Austria.

"Namun, langkah selanjutnya sekarang adalah memastikan bahawa perniagaan telah bersedia untuk merebut peluang baharu dalam perubahan landskap ini.

“Di pihak kami, kami telahpun menerapkan penyelesaian khusus untuk perniagaan dari pelbagai saiz. Sebagai contoh, untuk meningkatkan sektor pembuatan elektronik Malaysia, kami telah mengembangkan keupayaan, memindahkan penghantaran semikonduktor yang mahal dengan pantas ke seluruh dunia dengan pengisihan hampir sifar untuk bergerak pantas dan menghapuskan sebarang kerosakan," katanya.

Sementara itu, mengenai keperluan yang kian meningkat terhadap perubatan dan vaksin di seluruh dunia, beliau berkata Pulau Pinang telah meraih reputasi sebagai hab, menghasilkan produk kardiovaskular dan implan ortopedik, yang mana ini sekali gus mencerminkan kedudukan penting negara sebagai pengeluar  penjagaan kesihatan.

Pada masa yang sama, UPS telah melabur dalam bahagian penyejuk beku di pusat pengedarannya di Singapura untuk meningkatkan kapasiti penyimpanannya yang lebih sejuk untuk menyokong aspirasi Singapura menjadi hab pengedaran vaksin COVID-19 di Asia Tenggara.

"Singapura adalah hab serantau UPS di Asia Pasifik dan lokasi utama dalam rangkaian global pintar kami. Negara itu juga merupakan pusat pengedaran penjagaan kesihatan untuk peserta farmasi global. Di sini, UPS menyokong pembuatan teknologi perubatan dan farmaseutikal yang penting bagi seluruh rantaian bekalan global.

"Ini melangkaui pengangkutan biasa dan ia turut merangkumi pengurusan pusat pengedaran serantau pelanggan kami, sokongan untuk rantaian bekalan global bagi pembuatan produk penjagaan kesihatan, perantaraan dan barangan lengkap serta membolehkan pelanggan kami berinovasi dan mengoptimumkan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan