AM

MITI digesa benarkan industri kitar semula beroperasi

10/07/2021 07:13 PM

BUTTERWORTH, 10 Julai -- Pertubuhan Kebajikan Peniaga Barangan Kitar Semula India Zon Utara (NIRA) menggesa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan peniaga dan kilang kitar semula beroperasi dalam Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Presiden NIRA Datuk S. Parthiban berkata syarikat terbabit terpaksa menanggung semua kos perniagaan dan perbelanjaan seperti sewa, ansuran pinjaman, gaji pekerja dan bayaran utiliti walaupun industri kitar semula telah ditutup sejak sekatan pergerakan penuh dilaksanakan bulan lepas.

Beliau melahirkan kebimbangan syarikat kitar semula tidak mampu untuk menanggung kos operasi mereka, jika diarahkan tutup untuk tempoh lebih lama.

“Jika kawalan pergerakan dilanjutkan dan (syarikat) masih tidak dibenarkan beroperasi, kami tidak berupaya untuk membayar gaji pekerja, bakal memberhentikan pekerja atau menutup kilang kitar semula secara kekal,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya terdapat sekitar 150 syarikat terlibat dalam perniagaan besi buruk dan industri kitar semula di Wilayah Utara, dengan lebih 1,500 pekerja tempatan terlibat di peringkat pengurusan.

Parthiban menegaskan memandangkan kebanyakan industri pembuatan dibenarkan beroperasi semula, sisa dan barangan untuk kitar semula yang dihasilkan daripada proses pembuatan tidak dapat dibuang tanpa operasi syarikat kitar semula.

“Di sesetengah kawasan, barangan untuk dikitar semula disimpan di kawasan terbuka, yang mendedahkan ia kepada hujan dan cahaya matahari. Ia berisiko boleh menyebabkan kebakaran," katanya.

Beliau berharap kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan untuk membuka semula industri kitar semula secepat mungkin.

Terdahulu hari ini, NIRA melancarkan program amalnya dengan menyediakan barangan runcit untuk keluarga yang memerlukan, terutama golongan B40.

Parthiban berkata program amal itu bertujuan untuk membantu sekurang-kurangnya 1,000 keluarga yang memerlukan dan akan dijalankan dalam tiga fasa.

“Hari ini kami melancarkan fasa pertama dengan menyediakan barangan keperluan kepada 300 keluarga, diikuti 300 keluarga pada fasa kedua dan fasa ketiga untuk 400 keluarga,” katanya lagi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan